Menulis novel; 3 perkara yang anda perlu fikirkan sebelum bermula

Menulis novel

Kalau waktu di sekolah dulu, cerita (mengikut cikgu karangan Bahasa saya) mempunyai tiga perkara.

  1. Pengenalan
  2. Isi-isi penting
  3. Kesimpulan

Struktur sebegini rapat dengan ‘three-act structure’ yang terkenal. Cerita yang mempunyai permulaan, tengah dan pengakhiran.

Walaupun diterima umum dan tidak mendapat sebarang tentangan daripada kelas 5 Sabar, bagi saya penulisan novel adalah lebih daripada itu.

Jadi, ada apa dengan menulis novel?

Seperti dinyatakan oleh Aristotle dalam bukunya De Poetica, cerita memang mempunyai permulaan, tengah dan pengakhiran.

Terjemahan teks De Poetica
Terjemahan teks De Poetica dalam Bahasa Arab

Namun begitu, brader Aristotle berpendapat yang cerita tak perlu begitu linear dan lurus seperti pembaris.

Maknanya, permulaan cerita tak semestinya menjadi titik mula (daripada perspektif masa) kepada cerita. Sebaliknya, permulaan cerita perlu mempunyai emosi.

Kejadian yang membenarkan audiens rasa tertarik untuk terus mengikuti cerita.

Kalau dalam menulis skrip filem, bahasa omputihnya adalah ‘inciting incident’.

Kejadian ni pulak diikuti dengan pelbagai konflik dan kemajuan cerita. Ini aku namakannya tengah.

Semua bahagian ‘tengah’ tadi akan disimpulkan ke dalam peleraian. Bunyi macam senang tapi bila kau dah mula menulis nanti kau akan rasa haram prosesnya.

Itu je ke yang perlu ada dalam menulis novel ni?

Sudah tentu tidak, anak muda. (sila baca dalam suara Obi Wan)

Novel yang baik mempunyai watak yang diolah tidak sempurna, yang mana pembaca boleh terkesan dengan tindakan dan perbuatannya.

Boleh jadi watak tu tak baik pun, tapi kau masih boleh terkesan. Siapa yang tengok Breaking Bad tahu benda ni.

Novel yang baik juga perlu mempunyai latar yang diadun sempurna ke dalam cerita, latar boleh jadi tempat yang benar wujud, atau dunia yang dicipta.

Yang ini kau kena tengok keperluan genre yang kau pilih.

Selain tu, pemilihan perspektif watak dan kaitan antara watak-watak dalam cerita juga memainkan peranan.

Banyak sebenarnya dan aku tak rasa adil untuk letak dalam satu artikel dan aku tak rasa kau akan ingat semua. (Baca sebagai,  aku malas tulis panjang)

Jadi persembahkan:

3 perkara terpenting kau kena fikir bila nak mula menulis novel (mengikut pendapat Keri)

#1: Pencerita yang mantap

Setiap cerita yang bagus kau pernah baca, tengok atau dengar mesti mempunyai penglipur lara yang mantap.

Pencerita ni boleh jadi narrator misteri, suara penulis itu sendiri, watak utama kau atau apa-apa lagi yang memuaskan nafsu imaginasi kau sebagai pencerita dan berjaya dalam penyampaian ceritanya kepada audiens.

Ingat kata kuncinya, cerita kau sampai kepada audiens dan bukan kau seorang je. Dan bila pencerita kau menyampaikan cerita, dosa terbesar lain yang dia boleh buat adalah untuk menjadi membosankan.

Masalah yang ketara dalam isu penyampaian bosan ni selalunya adalah penulis tak berani untuk mengeluarkan suara penulisan mereka.

Nak tahu lebih lanjut mengenai suara penulisan? Ada linknya di hujung artikel ni.

#2 Watak-watak yang berpersonaliti

Watak yang ada dalam cerita kau mestilah watak yang berwarna. Jadikan watak itu manusia (walaupun kadang-kadang dia bukan).

Maksud aku dengan jadikan watak itu manusia adalah untuk memberikan lebih penelitian dalam penggubahan watak kau.

Jangan asal bagi nama, rupa fizikal je dah siap.

Letakkan sedikit cerita di belakang setiap watak, walaupun cerita tu tak akan masuk dalam plot cerita novel kau.

Kau kena pastikan watak itu dan setiap tindakan dan reaksi mereka selari dengan pengetahuan dan pengalaman yang mereka ada.

Akan ada beza besar bila seseorang penulis itu menulis dengan mengetahui sepenuhnya watak-watak yang ada dalam ceritanya. Cubalah.

#3 Perkembangan cerita

Pernah tak tengok cerita drama yang bosan nak mati dekat TV?

Aisyah menjerit.

Dekat hujung sana ada Ali menangis.

Tapi pada masa yang sama kau menguap?

Selalunya, kau jadi bosan bila tak ada perkembangan dalam cerita. Masalah masih sama. Tak selesai, tak ada inisiatif yang diambil. Watak banyak sembang, tapi tak ada input baru.

Bosan.

Benda yang sama lah dalam kehidupan kita, kalau kerja takah yang sama je, hari-hari redah trafik-kerja-balik akan jadi bosan juga.

Samalah juga dengan cerita. Omputih cakap ‘keep the ball rolling’.

Caranya boleh jadi kau tambah lagi masalah yang ada, kau tambahkan keseriusan konflik ataupun selesaikan satu masalah dan timbulkan masalah lain yang lebih besar (templat Power Rangers).

Janji bergerak!

Ok, sampai situ je aku cerita kali ni, tengoklah bila-bila aku rajin nanti aku tulis tips menulis lain pulak.

 

P/S: Link ke artikel suara penulisan.

Facebook Comments
Tenang-tenang saja, serabut tak bawa ke mana. Seorang yang rajin baca surat khabar bertarikh semalam.

Tinggalkan Jawapan