Lima Tips Untuk Menulis Novel Fiksyen Sejarah Yang Baik

menulis novel fiksyen sejarah

 

kapal-van-der-wijk

Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa genre fiksyen sejarah (historical fiction) juga tergolong dalam genre realisme. Penulis selalu diberitahu untuk tulis tentang perkara yang mereka tahu, tapi sejarah atau zaman lampau adalah sesuatu yang asing bagi diri kita.

Diterjemah dari artikel “Seven Rules of Writing Historical Fiction” oleh Elizabeth Crook, Lili akan senaraikan lima tips untuk menulis novel fiksyen sejarah yang baik.

small-stuff

 

Peraturan #1: Jangan abaikan maklumat-maklumat terperinci

Kesahihan sesuatu fiksyen sejarah bergantung kepada pengetahuan seseorang penulis dan penggunaan pengetahuan tersebut.

Sama seperti genre fantasi dan fiksyen sains, pembaca hanya boleh meneroka dunia yang penulis telah reka jika penulis memberi deskripsi yang cukup dan terperinci.

Tetapi disebabkan deskripsi ini sepatutnya diperolehi dari sejarah, ia sepatutnya tepat dan bukan sekadar diambil dari filem-filem atau cerita yang sedia ada.

Berikut adalah cadangan Lili, selain dari kaedah penyelidikan biasa:

a. Cari seorang pakar dalam topik-topik sejarah yang diperlukan. Ini bukan masa untuk seorang penulis takut bertanya.

Jika awak ingin menulis tentang apa yang terjadi pada hari Merdeka, atau kisah hitam yang terjadi pada tahun 1969, inilah peluang untuk awak bertanya kepada sanak saudara atau rakan-rakan yang mungkin sudah lahir pada masa tersebut.

Ini akan membuatkan cerita awak, terutamanya motivasi dan emosi watak-watak dalam novel awak lebih semulajadi. Pada masa yang sama, jika mampu, boleh juga berhubung dengan sejarawan-sejarawan yang arif supaya penulis boleh pastikan ketepatan dan kesahihan fakta-fakta yang ada.

b. Awak boleh juga cuba dapatkan suratkhabar atau risalah lama daripada latar tahun atau latar zaman cerita awak. Maklumat-maklumat yang awak boleh dapatkan daripada benda-benda ini akan memberi deskripsi yang lebih terperinci tentang kehidupan masyarakat pada zaman itu.

 

buang-maklumat

 

Peraturan #2: Buang Maklumat yang Tidak Penting

Sebagai penulis, awak sepatutnya mempunyai pengetahuan yang luas mengenai latar belakang watak dan gaya hidup masyarakat pada zaman tersebut.

Awak haruslah cukup arif sehinggakan jika awak boleh mengembara ke masa lampau tersebut (time-travel), awak akan diterima oleh masyarakat sekeliling. Semua fakta dan maklumat terperinci ini harus berada dalam pemikiran awak sepanjang masa.

Walaubagaimanapun, bukan semua maklumat ini perlu diceritakan kepada pembaca. Salah satu skil yang penting adalah untuk tahu apa yang perlu dimasukkan dan apa yang perlu dibuang.

Jika sesuatu fakta, statistik atau gaya hidup masyarakat itu tidak relevan dengan jalan cerita atau watak-watak awak dan tidak mengerakkan plot cerita, maka ia harus dibuang dan tidak diceritakan kepada pembaca.

Ini tidak bermaksud segala usaha awak untuk menyelidik, mengkaji dan mendapatkan maklumat-maklumat tentang zaman tersebut adalah sia-sia dan tidak boleh digunakan. Semua hasil usaha awak adalah untuk memberi isi kepada jalan cerita dan watak novel awak.

berlaku-adil

Peraturan #3: Berlaku Adil Terhadap Watak

Jikalau watak-watak novel awak berdasarkan kepada tokoh yang betul-betul wujud dan awak mengunakan nama sebenar mereka, awak harus berlaku adil terhadap mereka.

Awak mungkin tahu apa telah mereka lakukan, bila mereka lakukan perkara tersebut tetapi yang lebih penting dalam sesuatu cerita adalah kenapa mereka lakukan sesuatu perkara tersebut. Dan jawapan kepada persoalan ini hanyalah boleh dijawab dengan jujur oleh diri mereka sendiri.

Oleh itu, selalu cuba bertanya kepada diri sendiri jika awak sedang berlaku adil terhadap watak-watak awak, dan jika kelakuan mereka betul-betul memaparkan apa yang sebenarnya mereka niatkan.

judge

Peraturan #4: Elak Menghakimi Watak-Watak

Jangan menghakimi kelakuan watak-watak dan jangan meminta maaf untuk apa yang dianggap kesalahan mereka. Tugas awak sebagai seorang penulis hanyalah untuk merakam masa dan menceritakan apa yang terjadi dan mengapa ia terjadi.

Setiap benda yang terjadi adalah berdasarkan kompas moral masyarakat pada zaman tersebut yang mungkin berlainan dengan kompas moral masyarakat zaman sekarang.

long-process

Peraturan #5: Jangkakan masa menulis yang panjang

Kebanyakan novel fiksyen sejarah akan mengambil masa yang panjang untuk disiapkan. Ini disebabkan jumlah penyelidikan yang banyak dan proses penyemakan yang menyeluruh.

Tapi ini semua aspek yang penting dalam menulis novel fiksyen sejarah yang berkualiti.

end

 

Fiksyen sejarah ialah genre yang mampu membawa pembaca ke zaman lalu dan mengkaji semula masyarakat pada zaman tersebut dalam bentuk sebuah cerita. Ini tidak bermaksud penulis harus membuta-tuli menceritakan kejadian yang telah berlaku pada masa lalu.

Fiksyen memberi awak fleksibiliti, yang penting adalah kesahihan latar zaman yang awak bawakkan.

Lili harap kelima-lima tips ini telah membantu awak sebagai seorang penulis (dan juga seorang pembaca) untuk tahu proses yang diperlukan untuk menulis novel fiksyen sejarah.

Bagi Lili, segala proses dan usaha awak ini penting untuk membuahkan hasil yang memuaskan.

Dah usai menulis dan masih mencari penerbit untuk karya awak? Bolehlah terbangkan ke Lili di info@rumahlipurlara.com. (Kalau sudi.)

Facebook Comments

Tinggalkan Jawapan