Cara menulis novel; 5 perkara yang anda patut elak di permulaan novel

Cara Menulis Novel

Dalam artikel cara menulis novel sebelum ini, Keri sudah menyenaraikan 3 perkara penting yang harus difikirkan sebelum mula menulis novel.

Awak belum baca lagi? Klik di sini untuk baca artikel tersebut: Link ke Artikel Sebelum Bermula Menulis Novel

Ok sekarang awak dah cukup bersedia untuk mula menulis. Tapi tahukah awak kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan seorang penulis pada permulaan novel mereka, terutamanya dalam bab pertama?

Terus-terang Lili rasa tips-tips yang Lili nak bagi ini lebih sesuai untuk digunakan semasa proses menyunting.

Ya, penulis pun kena sunting karya sendiri juga.

Penulis seharusnya rasa bebas untuk menulis apa-apa saja dalam draf pertama mereka sebelum melakukan proses sunting bagi karya mereka untuk lebih kemas; terpulang kepada stail masing-masing.

Cara Menulis Novel

5 perkara yang anda patut elak di permulaan novel anda

1. Permulaan Palsu

Bila kita selaku pembaca sudah mula khusyuk membaca babak pertama – yang mana watak utama berada dalam situasi bahaya atau sedang berlawan dengan raksasa – tapi rupanya itu hanyalah mimpi atau angan-angan semata-mata, pasti rasa hampa, kan? Sekaligus, minat untuk teruskan pembacaan akan berkurangan.

Bukanlah Lili nak cakap yang cara menulis novel ini salah atau wajib dielakkan. Tetapi adalah lebih baik jika awak boleh cari alternatif lain untuk memulakan novel awak.

2. Terlajak Menulis (Overwriting)

Ini boleh dikatakan kesilapan yang selalu penulis-penulis baru lakukan. Apa yang terjadi adalah penulis terlalu teruja untuk menceritakan suasana pada babak-babak awal cerita, atau mungkin penulis merasakan eksposisi tentang watak utama harus dilakukan serta-merta.

Tetapi, selaku pembaca, kita akan merasakan seumpama tiada apa-apa yang sedang berlaku dan plot cerita seakan tidak bergerak. Semestinya ada masa dan tempat untuk penulis menerangkan latar belakang, eksposisi watak atau pemandangan.

Bab-bab awal seharusnya digunakan untuk menyediakan “hook” kepada pembaca dan buat pembaca ingin tahu lebih lanjut serta sambung membaca.

Bagaimana untuk menyediakan “hook”? Ha, itu Lili cerita di lain hari.

3. Buku Teks Sejarah

Untuk penulis yang menulis bacaan bergenre fantasi, fiksyen sains atau fiksyen sejarah, terdapat banyak “world building” yang harus dilakukan. Awak sudah reka dan bangunkan dunia yang lain daripada dunia yang kita semua tahu, dengan pelbagai watak yang menarik, undang-undang yang pelik dan adat yang aneh.

Dan, awak nak pembaca awak tahu tentang dunia yang awak dah reka itu kan?

Ketahuilah bahawa bab-bab awal novel awak bukanlah tempatnya yang sesuai untuk awak membosankan pembaca dengan “fakta-fakta’ dunia awak itu. Pembaca ingin menjadi salah seorang watak yang menarik dalam dunia yang aneh, bukan sekadar seorang penonton yang melihat dunia yang lain di luar tingkap.

Beritahu pembaca tentang fakta yang patut mereka tahu pada masa itu saja, dan yang relevan kepada plot cerita awak ketika itu.

Fiksyen Sains

4. Perkenalkan Terlalu Banyak Watak

Setiap cerita memerlukan SATU watak utama. Ya, penulis boleh menceritakan tentang sekumpulan watak, tetapi salah seorang daripada mereka perlu menjadi watak protagonis novel tersebut.

Pastikan pembaca dapat kenalpasti siapa protagonis cerita dari awal lagi, melainkan awak sebagai penulis ada sebab yang kukuh untuk tidak memberitahu pembaca.

5. Dialog Yang Tidak Natural

Bukanlah suatu kesalahan untuk memulakan novel awak dengan dialog. Tetapi bila seorang penulis memulakan novel dengan dialog hanya untuk menyuap pembaca dengan maklumat dan fakta, dialog itu akan menjadi tidak natural dan memaksa-maksa.

“Hari semakin gelap, Anis,” kata Bakri sambil  mengigil. “Kau mungkin kakak aku tapi aku rasa kau tak tahu pun kau nak pergi mana. Nanti kita sesat dalam hutan yang gelap ni kalau kita tak balik ke rumah sebelum Maghrib.”

“Mana boleh kita stop sekarang, Bakri,” kata Anis. “Kita kan tengah cari mana raksasa Amazonia jahat tu tidur. Kalau kita tak bunuh dia sebelum pagi esok, dia akan musnahkan seluruh kampung kita.”

Dialog sebegini mungkin sesuai untuk skrip drama atau filem tetapi penulis novel mempunyai lebih banyak cara untuk memberitahu pembaca apa yang sedang terjadi. Dialog antara dua watak bukanlah satu-satunya cara untuk penulis menyampaikan maklumat.

Semoga artikel kali ini serba sedikit dapat membantu awak dalam penulisan.

Lili ucapkan selamat menulis kepada awak! Dan bila manuskrip awak dah siap nanti, boleh lah baca artikel Lili yang sebelum ini untuk tahu mana nak hantar manuskrip awak tu. Link ke Artikel Nak Hantar Novel Kat Mana

Facebook Comments

Tinggalkan Jawapan